Ahad, 27 November 2011

Refleksi 1

Saya ditempatkan di sebuah sekolah luar bandar yang terletak di tepi sungai. Jaraknya dari bandar sejauh 17 kilometer. Sekolah ini dapat dihubungi dengan darat dan sungai. Di sekeliling sekolah ada sebuah rumah panjang dan beberapa buah rumah setinggan. Ibu bapa-ibu bapa murid kebanyakannya petani. Mereka bercucuk tanam, memelihara binatang ternakan seperti ayam, itik dan khinzir. Selain itu, sebagai pekerja kilang dan pembantu kedai. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid(SKM). Biangan murid bagi seluruh sekolah adalah 89 orang. Bilangan guru termasuk Guru besar adalah seramai 12 orang. Komposisi murid terdiri daripada kaum Iban dan Cina.
Saya adalah Guru Kelas Tahun 3. Bilangan murid kelas saya hanya 20 orang sahaja.  Terdapat 5 orang murid sahaja yang tergolong dalam murid kumpulan baik, 8 orang merupakan murid kumpulan sederhana dan 7 orang lagi murid kumpulan lemah.  4 orang murid kumpulan lemah ini telah mengikuti kelas pemulihan sejak tahun satu lagi kerana mereka masih belum menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. 
            Analisis Data Sistem Maklumat Murid(SMM) menunjukkan bahawa pendapatan keluarga adalah di antara RM350 hingga RM850 sebulan.  Purata bilangan ahli keluarga adalah 5 hingga 9 orang termasuk ibu bapa. Pendapatan per kapita purata murid-murid ini adalah di antara RM38 hingga RM170.  Hanya 5 orang sahaja murid yang pendapatan per kapita keluarganya mencecah RM170. Terdapat juga 2 orang murid dalam kelas ini yang berasal daripada keluarga ibu tunggal di mana mereka tinggal bersama dengan datuk dan nenek mereka.
            Pencapaian akademik dan kegiatan luar bagi dua orang murid yang berada dalam kumpulan baik ini sangat memuaskan. Mereka juga wakil sekolah malah wakil bahagian dalam permainan badmintan. Pencapaian akademik mereka juga berprestasi tinggi walaupun tidak hadir ke sekolah selama satu atau dua minggu kerana mewakili sekolah atau bahagaian dalam pertandingan badminton. Manakala  8 orang murid yang merupakan kumpulan sederhana, 5 orang terdiri daripada kaum Iban dan dua orang adalah campuran darah daripada kaum Iban dan Cina. Mereka merupakan kumpulan yang tidak berapa pandai membaca perkataan atau ayat dalam Bahasa Cina dengan lancar. Setiap kali guru mengaju soalan yang memerlukan mereka menjawab di hadapan kelas, kumpulan murid ini selalu akan mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalan serta tidak yakin dengan jawapan yang diberi. Kadang kala mereka diam diri sahaja dan tidak menjawab apa-apa. Akan tetapi, mereka tidak menghadapi masalah dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.  Kumpulan ini merupakan kumpulan yang bertingkah laku aktif sewaktu mata pelajaran Bahasa Cina, Sains dan subjek lain yang diajar dalam Bahasa Cina. Murid-murid ini sering mengganggu murid-murid lain dan tidak membuat latihan atau lembaran kerja yang diberi semasa di dalam kelas.  Kumpulan murid ini sering lupa akan diri mereka ketika berada di dalam kelas dan mula bermain selepas mereka berasa bosan dengan subjek itu. Selain itu, mereka juga tidak menghantar latihan dan tidak membuat latihan yang diberi oleh guru.
2 orang murid dalam kumpulan lemah adalah murid yang lemah dalam semua mata pelajaran kecuali Pendidikan Jasmani. 2 orang murid ini juga murid pemulihan. Murid-murid ini tidak memahami arahan yang diberi oleh guru. Jika guru memberi arahan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, mereka dapat mengikut aktiviti yang disuruh. Selain itu, murid-murid ini masih tidak dapat menulis nama penuhnya dengan betul. Tulisan mereka seperti cakar ayam dan selalu tidak menghantar kerja rumah. Mereka selalu menghantar lembaran kerja atau latihan kosong walaupun guru menjelaskan bagaimana hendak menjawab. Oleh itu, dua orang murid ini sering dimarahi oleh guru. Selain lemah dalam pelajaran, salah seorang murid lelaki daripada keluarga ibu tunggal, yang tinggal dengan datuk dan nenek itu selalu mengeluarkan perkataan lucah dan kesat. Dia sering membuat aksi yang tidak senonoh. Dia juga suka menunjukkan bahagian kemaluannya kepada kawan-kawannya. Dia suka melihat kekecohan kelas selepas murid-muird ketawa kepada tindakannya sedemikian.

Prestasi akademik murid-murid kelas Tahun 3 secara keseluruhannya adalah sederhana. Setiap kali diberi ujian sumatif seperti ujian pertengahan dan ujian semester, secara purata, lapan(8) atau duabelas(12) orang akan lulus dalam semua mata pelajaran. Murid-murid yang selalu mendapat kedudukan yang baik adalah daripada keluarga sederhana status ekonomi ibu bapa. Keputusan murid-murid yang lemah akan mendapat markah yang sangat rendah. Mereka adalah terdiri daripada keluarga di mana ibu bapa mereka bekerja di kilang dan pembantu kedai. Mereka tidak ada masa untuk menyelia anak-anak mereka membuat kerja rumah. Selain itu, murid-murid ini sering lupa tentang isi pelajaran yang diajar walaupun dalam jangka masa yang pendek.  Mereka tidak dapat mengingati apa yang telah dipelajari walaupun proses pengajaran dan pembelajaran baru dijalankan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan